JOHOR BAHRU 23 Jun – Syarikat antarabangsa yang menjual pencuci mulut dan minuman berkonsepkan kios, Coolblog Dessert Sdn. Bhd. (Coolblog) menyasarkan un­tuk membuka 10 cawangan baharu di Jakarta, Indonesia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengurus Besarnya, Pang Wei Chong berkata, ketika ini Coolblog mempunyai 380 cawangan di negara ini dan tujuh di Surabaya, Indonesia.

“Setakat ini kita telah ada francais induk di Jakarta dan menyasarkannya mampu membuka 10 cawangan di sana dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kita melihat Indonesia mempunyai potensi dan pasaran yang cukup baik. Selepas Surabaya dan Jakarta, kita akan perluaskan cawangan ke kawasan lain,” katanya pada majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Anak-Anak Yatim Ar-Rayyan di Taman Sri Amar, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Anak-anak Yatim Ar-Rayyan, Muhamad Halimi Kolan.

Wei Chong berkata, selain Indonesia, pihaknya juga merancang untuk membuka cawangan di Filipina dan India, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di rantau ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Coolblog akan menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) bagi melahirkan le­bih ramai usahawan bumiputera dalam perniagaan tersebut.